Sabtu, 28 Februari 2009

SEMINAR BUDAYA MELAYU SARAWAK KE-5, 15-21 March 2009

Pengenalan

Sempena dengan perayaan ulang tahun ke 45 penubuhan Malaysia, masyarakat Melayu Sarawak (MMS), seperti juga masyarakat lain di negeri ini diminta untuk menyumbang sama dalam merealisasikan semangat dan aspirasi Simposium Budaya Sarawak yang bermatlamat :

a. Mengupas kembali nikmat keunikan dan kekayaan budaya bersama;

b. Mengingatkan generasi muda kepentingan hidup bersama dalam suasana kepelbagaian budaya dan masyarakat; dan

c. Memperkukuhkan silaturahim, kefahaman dan toleransi pelbagai budaya.

 Sehubungan itu, adalah dicadangkan supaya masyarakat Melayu Sarawak memanfaatkan kesempatan ini untuk mengenengah, menampil dan memperlihatkan tentang betapa penting dan signifikannya sumbangan masyarakat Melayu Sarawak melalui setiap aspek budayanya dalam membentuk wajah dan imej Sarawak yang unik dalam Persekutuan Malaysia. Penampilan ini perlu dibuat secara menyeluruh dan bersepadu, secara terbuka dan teratur, agar dapat dikenali, difahami, dinilai dan dihayati akan wujudnya kelainan dalam persamaan di antara masyarakat Melayu Sarawak dengan masyarakat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, dan dengan masyarakat suku kaum dan etnik Bumiputera lain dalam rumpun Melayu di rantau ini.

 Satu daripada pendekatan yang boleh diambil untuk merealisasikan perkara ini ialah dengan mengadakan Seminar Budaya Melayu Sarawak V yang melalui pelbagai aktiviti pengisiannya akan memungkinkan setiap aspek penting Budaya Melayu Sarawak diketahui, difahami, dihayati, diiktiraf dan dihargai, bukan saja di kalangan masyarakat Melayu Sarawak sahaja oleh oleh generasi tua dan mudanya, tetapi juga oleh ahli masyarakat Sarawak yang lain. Mengambil kira bahawa budaya ialah a way of life, maka aspek-aspek berikut dalam sejarah dan kewujudan masyarakat Melayu Sarawak sebelum dan semasa membangun dalam Malaysia perlu diberi keutamaan:

a. Aspek Pendidikan (Pembangunan budaya ilmu dan pertumbuhan serta perkembangan tradisi intelektual di kalangan masyarakat Melayu Sarawak);

b. Aspek ekonomi (Bentuk ekonomi dan penyertaan MMS dalam pembangunan ekonomi Sarawak dan Malaysia; sumber ekonomi dan dana);

c. Aspek sosio-budaya (Agama, bahasa, adat dan kekeluargaan);

d. Aspek kesenian (material dan non material); dan

e. Aspek politik dan pemerintahan (Perundangan, kepimpinan dan penyertaan dalam pembangunan politik kenegerian dan kenegaraan).

 2. Tujuan Khusus

SBMS bertujuan menyediakan ruang dan peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat Melayu Sarawak dari seluruh pelusuk negeri Sarawak untuk berjumpa dan berbincang di kalangan sesama mereka sendiri menyelusuri sejarah, membincang cabaran, menilai pencapaian dan merangka aspirasi budaya bangsanya. Adalah diharapkan melalui kesempatan sebegini mereka akan lebih memahami dan dapat menghayati, dan kemudiannya lebih bersedia untuk memaklumi, menghargai dan mengiktiraf kebermaknaan peranan dan sumbangan masyarakatnya dalam pembentukan jati diri sebuah negara bangsa yang merdeka. Pada masa yang sama, SBMS ini juga bertujuan menyediakan wadah kepada mereka untuk mempamer dan show-case pelbagai aspek budaya yang mencirikan keunikan dan kehebatan masyarakat Melayu Sarawak.

Secara khusus Seminar Budaya Melayu Sarawak V bertujuan:

2.1. Membincang dan menilai secara kritis sejarah kemajuan dan perkembangan MMS dalam bidang-bidang pendidikan, keagamaan, ekonomi, sosio-budaya, kesenian dan politik yang dianggap penting dalam pembentukan sejarah dan pembentukan lanskap sosio-budaya dan politik negeri Sarawak.

2.2. Mengenalpasti dan menetapkan dengan penuh rasa yakin kebermaknaan dan kepentingan sumbangan MMS dalam pembentukan jati diri bangsa Malaysia amnya, dan wajah serta imej anak Sarawak khasnya; dan

2.3. Menampil dan mempamerkan pelbagai aspek kesenian, keadatan dan kebudayaan MMS yang unik dan bernilai budaya yang tinggi.

3. Tema

Budaya Melayu Sarawak – Mutiara di Samudera Luas

4. Format SBMS

Untuk mencapai matlamat tersebut di atas, aktiviti-aktiviti berikut difikirkan sesuai untuk dilaksanakan :

a. Majlis Ilmu : Forum, Bengkel, Sembang, Ceramah, dan Seminar;

b. Pameran : Artifak kesenian dan budaya, dll.

c. Demonstrasi(pertunjukan) : Penghasilan kraftangan, hasil seni, makanan, dll.

d. Persembahan : Acara kesenian dan keadatan;

e. Bazarnita : Menjual produk asli MMS; dan

 f. Majlis Penghargaan dan Pengiktiran Budaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan